ARKIB : 19/06/2013
Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my
SEBAHAGIAN daripada 150 penuntut politeknik yang menyertai Program CMI 2013
merakam kenangan di puncak Gunung Ledang, Ledang, Johor, baru-baru ini.
LEDANG 18 Jun - Seramai 150 penuntut politeknik dari seluruh negara menyertai Program Inspirasi dan Mencabar Minda 2013 (CMI 2013) di Kem Majlis Sukan Negara (MSN) Saujana, Asahan, Melaka baru-baru ini.
Program selama dua hari anjuran Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan turut disertai ahli Kelab Bimbingan Rakan Siswa Politeknik (PRSP) itu diisi dengan beberapa latihan dan pendakian ke Gunung Ledang.
Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik (JPP), Datuk Mohlis Jaafar berkata, antara tujuan program itu adalah untuk memupuk semangat jati diri dalam kalangan mahasiswa agar lebih bersedia daripada segi mental, fizikal dan kerohanian.
"Bagi pelajar-pelajar yang pertama kali mendaki Gunung Ledang, ia adalah pengisian program yang wajib disertai dan merupakan satu cabaran perlu dilalui sekali gus membina keyakinan diri.
"Saya juga percaya banyak perkara yang dapat dipelajari daripada program selama dua hari ini yang bukan semata-mata mendaki Gunung Ledang tetapi lebih daripada itu," katanya pada Majlis Penutup CMI 2013 di Dewan Kem MSN Saujana.
Sementara itu, peserta dari Politeknik Shah Alam, Muhammad Hafiz Mohd. Anuar, 21, berkata, program tersebut bukan hanya tertumpu kepada pendakian Gunung Ledang tetapi yang utama ialah penekanan semangat berpasukan dan setiakawan selain penerapan nilai murni dalam kehidupan seharian.
Katanya, perancangan pada masa depan adalah menyertai ekspedisi menawan Gunung Tahan di Pahang selepas berpengalaman melakukan pendakian ke puncak Gunung Stong di Kelantan sebelum ini dan berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Ledang pada kali ini.
"Walaupun kumpulan kami mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk menawan puncak, ia satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan apabila berjaya berada di puncak melihat pemandangan dan suasana indah ciptaan Allah," katanya.
Peserta termuda, Nur Aimi Farhana Mohd. Hosni, 19, dari Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim, Kedah, menyifatkan program itu benar-benar mencabar kekuatan fizikal dan mental sebelum berjaya ke puncak pukul 3 petang, namun ia berbaloi kerana kepuasan mencapai puncak tidak dapat digambarkan.
"Kejayaan pasukan bersama-sama menawan gunung berkenaan benar-benar menggembirakan saya dan rakan apatah lagi sebelum ini tidak pernah menjangka mampu melakukannya. Atas semangat berpasukan semuanya selamat ke puncak," ujarnya.
#PetikanUtusan